Kerjaya antarabangsa Gabriel Vasconcelos Ferreira

Bawah-20

Gabriel sebahagian daripada pasukan bawah-20 Brazil yang menjuarai Kejohanan Remaja Amerika Selatan 2011 pada Februari 2011. Beliau tampil dalam lapan perlawanan buat Brazil.

Pada bulan Ogos tahun yang sama, beliau dipanggil oleh pengurus Ney Franco untuk mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Dunia bawah-20 FIFA. Beliau bermain tujuh perlawanan sehingga laluan Brazil ke perlawanan akhir dan menjulang trofi kejohanan selepas menewaskan Portugal, 3-2.

Bawah-23

Gabriel dipanggil oleh pasukan bawah-23 Brazil untuk mengambil bahagian dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik 2012 untuk menggantikan Rafael Cabral yang mengalami kecederaan dua hari sebelum kejohanan bermula. Selepas hanya duduk di bangku simpanan buat dua perlawanan, Gabriel akhirnya tampil di Sukan Olimpik pada perlawanan terakhir pusingan pertama menentang New Zealand yang menyaksikan Brazil menang 3–0. Beliau mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama pada tiga perlawanan seterusnya dan Brazil hanya meraih pingat perak selepas kecundang di tangan Mexico di perlawanan akhir yang berkesudahan Mexico menang 2-1.

Senior

Tiga hari selepas beraksi di perlawanan akhir Olimpik, Gabriel membuat debut untuk pasukan senior Brazil pada 15 Ogos 2012 menentang Sweden dalam satu perlawanan persahabatan yang berkesudahan Brazil menang 3-0.